Rabu, 28 Februari 2018 | 3:14pm

Padah lagak tak bertempat

AYER KEROH: Gara-gara nak tunjuk lagak tak bertempat, seorang lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memecahkan cermin sisi kereta, Disember tahun lalu.

Majistret Lim Kim Keat menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohammad Shamirul Mohd Saat, 24, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memecahkan cermin sisi bahagian kanan kereta mangsa jenis PROTON Persona menggunakan sebatang besi sehingga menyebabkan kerugian RM300.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di tepi Jambatan Jalan Tun Mamat, kira-kira jam 1 tengah hari, pada 23 Disember 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebagai penumpang kereta jenis Volkswagen turun daripada kenderaan itu lalu bertindak memukul cermin sisi kereta mangsa menggunakan sebatang besi selepas tidak diberikan laluan jalan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh kerana bersikap tidak rasional dan berlagak seperti samseng jalanan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu hukuman diringankan dengan alasan baru mendapat pekerjaan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X