Isnin, 5 March 2018 | 4:12pm

Abu Ameenah vs Zamihan, kes dibicara

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips, yang mengemukakan saman fitnah terhadap Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Zamihan Mat Zin, membayar jaminan untuk kos (security for costs) sebanyak RM30,000.

Peguam Meor Amin Meor Omar Baki yang mewakili Abu Ameenah memberitahu pemberita, anak guamnya membayar jaminan bagi kos berkenaan kepada Mahkamah Tinggi pada 29 Januari lalu.

Meor Amin berkata, kedua-dua pihak bersetuju dengan jumlah itu dalam prosiding pada 19 Januari lalu.

Katanya, dalam prosiding pengurusan kes di kamar hakim hari ini, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan pada 31 Julai ini bagi perbicaraan kes.

Abu Ameenah selaku plaintif mengemukakan saman terhadap Zamihan (defendan) kerana mendakwa defendan memfitnahnya melalui posting bergambar yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, tahun lalu dengan mengaitkannya sebagai penyokong keganasan antarabangsa.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 29 September tahun lalu, Abu Philips mendakwa defendan memuat naik gambarnya dan kapsyen dalam akaun Facebook Ustaz Zamihan Al Ghari pada 26 November 2016 yang mendakwa beliau seorang penyokong pengganas.

Abu Ameenah mendakwa, posting itu memaparkan poster hebahan kuliah Maghrib khas yang disampaikan Zamihan pada 1 Disember 2016 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalulail, Kangar, Perlis.

Plaintif mendakwa posting itu merujuk kepadanya berdasarkan gambarnya yang dimuat naik selain kenyataan 'International Terrorism Supporter, dibenarkan berceramah di Perlis' yang merujuk kepada poster kuliah Maghrib khas itu.

Plaintif dengan itu menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan semula posting itu, selain ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

Zamihan dalam pernyataan pembelaannya pula berkata, beliau tidak tahu mengenai posting bergambar itu yang tersebar di internet.

Defendan bagaimanapun menegaskan, pernyataan dalam posting bergambar itu bukan fitnah terhadap plaintif kerana apa yang dinyatakan adalah fakta yang benar.

Berita Harian X