Isnin, 12 March 2018 | 3:56pm
PASANGAN suami isteri, Mohd Sazarim Mat Nawi, 31 dan Malisa Ismail yang menaiki kereta Perodua Kancil dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Mas maut selepas bertembung dengan kereta Proton Waja di Jalan Salor Baru, di sini awal pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca

'Bagaimana untuk beritahu mereka...'

KOTA BHARU: "Saya tidak tahu bagaimana untuk memberitahu dua cucu yang ayah dan ibu mereka sudah tiada," kata Mat Nawi Salleh, 62.

Anaknya, Mohd Sazarim, 31, bersama isteri, Nur Aniisa Ismail, 27, yang difahamkan sedang hamil dua bulan, maut dalam kemalangan di Jalan Salor Baru di sini, awal pagi tadi.

Pasangan itu meninggalkan dua anak, Muhamad Amin Syahiran, 4, dan Muhamad Anas Akil, 11 bulan.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan mengambil tanggungjawab menjaga dua beradik itu yang kini yatim piatu.

Dalam insiden jam 4.15 pagi, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bendang Pauh, Pasir Mas.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil dinaiki pasangan itu yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Mas, hilang kawalan sebelum bertembung dengan Proton Waja dari arah bertentangan.

Pemandu Proton Waja berusia 44 tahun yang cedera dikejarkan ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan.

Mat Nawi berkata, anak dan menantu yang tinggal bersamanya di Kampung Sat Hulu, Tanah Merah, keluar rumah pada jam 1 pagi tadi untuk mengambil bekalan sayur di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini, manakala kedua-dua anak lelaki mereka sedang tidur.

Katanya, beliau kemudian dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh anak saudara yang datang ke rumah pada jam 4.30 pagi sebelum terus ke hospital.

"Sebaik tiba di hospital, saya dimaklumkan anak dan menantu sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HUSM, hari ini.

Sehari sebelum kejadian, Mat Nawi berkata, beliau sempat berbual dengan arwah anaknya itu yang tiada menunjukkan sebarang perubahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata Perodua Kancil terbabit dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung kereta Proton Waja dari arah Pasir Mas.

"Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Kancil tersepit, manakala penumpangnya tercampak keluar dari kenderaan. Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat parah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X