Rabu, 14 March 2018 | 3:04pm
SEORANG remaja maut ditimpa kerusi di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, pada 16 Januari lalu.
SEORANG remaja maut ditimpa kerusi di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, pada 16 Januari lalu.

Pencarian suspek baling kerusi masih buntu

KUALA LUMPUR: Hampir dua bulan sudah berlalu, namun suspek yang melempar kerusi hingga menyebabkan kematian seorang remaja dekat Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam di sini, pada 16 Januari lalu, masih belum dapat dikesan.

Ibu mangsa, M S Kasthuribai, 45, berkata beliau dan ahli keluarganya kesal pembunuh anaknya itu belum ditahan pihak berkuasa.

"Semalam saya dan suami baru sahaja dipanggil pegawai dari Balai Polis Pantai Dalam kira-kira pada jam 3 petang untuk diambil keterangan lagi.

"Saya sedih kerana sehingga kini suspek belum diketahui. Meskipun anak saya sudah tiada, namun kes ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu saja," katanya kepada NSTP hari ini.

Kasthuribai yang masih menangisi pemergian anaknya, berkata dia tidak mampu duduk di rumah kerana terlalu banyak kenangan mengingatkan dia kepada anak lelakinya, S Sathiwaran, yang baru berusia 15 tahun itu.

"Ketika bertemu pegawai polis semalam, mereka bertanya sekiranya anak saya pernah terbabit dengan mana-mana pergaduhan sebelum ini.

"Saya memberitahu pegawai itu bahawa anak saya tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. Dia hanya duduk di rumah dan keluar apabila bersama dengan saya sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim, berkata pihaknya masih dalam siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Kita akan maklumkan maklumat berhubung kes ini selepas melengkapkan kes siasatan," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X