Sabtu, 17 March 2018 | 2:52pm

Penunggang motosikal maut di selekoh tajam

JASIN: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dalam kemalangan di Kilometer 5, Ulu Duyong, Jalan Jasin-Gapam di sini, awal pagi tadi.

Mohd Hairul Azman, 18, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Jasin, kira-kira setengah jam selepas kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata siasatan awal mendapati sebaik melalui satu selekoh tajam di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.

"Mangsa cedera parah di anggota badan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 5 pagi.

"Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada kenderaan lain terbabit, namun polis meminta mereka yang menyaksikan insiden itu untuk tampil membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X