Isnin, 19 March 2018 | 5:13pm

Jari hampir putus angkara anak

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita hampir putus tiga jari kiri selepas terkena pedang samurai ketika meleraikan pergaduhan antara anak menantunya di sebuah rumah di Jalan Air Jernih di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa berusia 50-an berada di rumahnya bersama anak lelaki berusia 30-an dan menantunya berusia 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata pasangan suami isteri itu dikatakan berselisih faham mengenai wang.

Beliau berkata, pertengkaran menjadi serius apabila suspek tiba-tiba mengeluarkan pedang samurai dan cuba melibas isterinya.

"Mangsa yang menyedari kekecohan itu cuba meleraikan pergaduhan pasangan berkenaan dan mangsa yang terkejut melihat suspek mengeluarkan senjata itu bertindak menahan serangan terbabit menggunakan tangan kirinya.

"Melihat keadaan ibunya, suspek menuduh isterinya bertanggungjawab menyebabkan ibunya cedera sebelum membawa mangsa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri sebaik menghantar ibu dan isterinya ke hospital itu," katanya.

Idris berkata, susulan itu laporan dibuat menantu mangsa di Balai Polis Kuala Terengganu, suspek ditahan kira-kira jam 3 petang hari yang sama.

Katanya, suspek yang bekerja sendiri kini direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Berita Harian X