Khamis, 22 March 2018 | 3:58pm
SANUDIN (tengah) bergambar dihadapan barang-barang seludup yang berjaya dirampas di Sibu. - Foto Harun Yahya

Kegiatan seludup rokok dan arak tumpas

SIBU: Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan arak pelbagai jenama bernilai RM340,000 dalam dua serbuan di lokasi berbeza, di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 10, Superintendan Sanudin Mohd Isa, berkata dalam serbuan pertama di sebuah stor di Jalan Wong King Hou, jam 5 petang semalam, pihaknya merampas 2,850 kotak arak pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM250,000.

Katanya, serbuan dilakukan oleh lapan anggota dan pegawai Batalion 10 PGA, lapan anggota dan pegawai dari cawangan risik Ibu Pejabat Briged Sarawak dan cawangan Risik Batalion 11 serta tiga pegawai dari Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Operasi kedua pula dilakukan ke atas sebuah premis perniagaan tayar di Jalan Sie Poi Kien, di sini, pada jam 8.15 malam tadi.

"Serbuan ini membawa kepada penemuan 76 kotak atau bersamaan kira-kira 3,800 karton rokok dalam premis berkenaan dianggarkan bernilai RM90,000," katanya pada sidang media di Pejabat Batalion 10, PGA, di sini, hari ini.

Sanudin berkata, pemilik premis sudah diminta menunjukkan dokumen pemilikan rokok berkenaan, namun gagal berbuat demikian.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 30-an dipercayai pemilik premis kerana cuba memberi suapan RM3,000 kepada pegawai bertugas sebagai dorongan tidak mengambil tindakan.

"Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Central Sibu, di sini dan barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Cawangan Sibu," katanya.

Beliau berkata, kes cubaan sogokan pula diserahkan SPRM untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X