Khamis, 22 March 2018 | 10:21pm

'Kucingku mati...'

KLANG: Air mata seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sukar ditahan sebaik menemui sembilan kucing kesayangannya rentung berpelukan dalam kebakaran rumahnya di Lorong Haji Salehuddin, Sungai Udang, di sini, awal pagi tadi.

Mohd Sazry Mohd Taha, 35, dimaklumkan mengenai kebakaran itu sejurus selesai bertugas dalam operasi menyelamat mangsa ribut di Petaling Jaya.

"Selepas kembali ke pejabat APM Klang, rakan setugas memberitahu rumah saya terbakar dan saya bergegas pulang untuk melihat keadaan.

"Sudahlah rumah saya terbakar, lebih sedih lagi bila saya melihat sembilan kucing peliharaan hangus berpelukan.

"Empat daripada kucing itu saya selamatkan dalam operasi menyelamat. Saya kasihan sebab tiada yang bela, jadi saya bawa pulang ke rumah.

Antara kucing milik Mohd Sazry Mohd Taha yang hangus terbakar di Lorong Haji Salehuddin, Sungai Udang.

"Lima ekor lagi kakak saya beri sebab pengurusan kediamannya tidak benarkan haiwan peliharaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu menyebabkan Mohd Sazry menanggung kerugian hampir RM20,000 selepas 2,500 koleksi figura pelbagai karakter dan 500 cincin batu miliknya yang dikumpul sejak 2015 musnah.

Bagaimanapun, dua monyet peliharaannya sempat diselamatkan kerana tinggal di luar rumah dan dialihkan oleh jiran.

Kebakaran turut membabitkan lima rumah lain dan menyebabkan 21 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Ketika ini, mereka berlindung sementara di Dewan Orang Ramai, Sungai Udang, di sini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

"Seramai 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Andalas, Sungai Pinang dan Pelabuhan Klang dihantar ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas B dan lima kelas C. Tiada kecederaan mangsa dilaporkan manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Mohd Sazry Mohd Taha menunjukkan rumahnya yang hangus terbakar di Lorong Haji Salehuddin, Sungai Udang, di sini, pagi tadi.
Berita Harian X