Sabtu, 24 March 2018 | 8:02pm
Seorang lelaki S Rames, 38, ditemui lemas ketika mandi di air terjun Lata Kekabu. - Foto ihsan Bomba

Lemas di Lata Kekabu

LENGGONG: Seorang lelaki ditemui lemas ketika mandi di air terjun Lata Kekabu, di sini, petang ini.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai S Rames, 38, ditemui orang awam yang berada di kawasan perkelahan berkenaan, pada jam 4.30 petang.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong berkata, pihaknya menerima maklumat jam 4.45 petang mengenai seorang lelaki disyaki lemas ketika mandi di kawasan air terjun berkenaan.

"Bomba yang mendapat maklumat itu ke lokasi kejadian dan terpaksa berjalan sejauh kira-kira dua kilometer untuk sampai ke air terjun berkenaan.

"Ketika sampai, mangsa sudah dibawa naik ke tebing oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan hospital yang turut ke lokasi kejadian," katanya.

Jurucakap itu berkata, bomba kemudian membawa mangsa dengan menggunakan pengusung keluar dari kawasan perkelahan itu dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi yang diketuai Meor Kamarulhasmi Bahiran itu tamat jam 6.11 petang.

Berita Harian X