Ahad, 25 March 2018 | 11:08am
KETUA Menteri, Lim Guan Eng. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
KETUA Menteri, Lim Guan Eng. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Polis akan panggil Guan Eng

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan dipanggil bagi menjalani proses rakaman percakapan berhubung videonya yang didakwa menghasut kanak-kanak untuk membenci kerajaan, pada minggu hadapan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik pada sidang media Sambutan Hari Polis Ke-211 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dekat sini, hari ini.

Roslee berkata, rakaman percakapan ke atas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu adalah proses biasa bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita bagaimanapun, masih belum memuktamadkan sama ada akan pergi berjumpa dengan beliau atau memanggilnya untuk hadir di lokasi ditetapkan untuk menjalani proses ini.

"Kita juga akan merakam percakapan saksi berkaitan kes ini dan dijangka ia akan diselesaikan dengan secepat mungkin, sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut," katanya.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa menghasut kanak-kanak untuk membenci kerajaan pada program pelancaran sebuah Pusat Tuisyen Rakyat Pulau Pinang di Jelutong, di sini.

Dalam video berdurasi 32 saat itu, Guan Eng dilihat cuba menyemai kebencian politik dalam kalangan kanak-kanak dengan menari dan mengejek dasar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam lagu A, B, C sebelum ia viral di laman sosial.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh selanjutnya RM1,00 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan, Roslee berkata, seramai 2,751 individu ditahan di bawah kesalahan narkotik, membabitkan hasil sitaan sebanyak RM3.4 juta, sejak 1 hingga 20 Mac lalu.

"Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang berjaya membongkar tiga makmal pemprosesan heroin, ekstasi dan syabu bagi tempoh sama, selain JSJK juga berjaya menumpaskan sindiket Love Scam/African.

"Selain itu, seramai 17 individu, masing-masing 12 lelaki dan seorang wanita warga Nigeria; dua lelaki dan seorang wanita India serta seorang wanita Cina ditahan dengan pelbagai dokumen, peralatan dan kad ATM turut dirampas," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X