Selasa, 27 March 2018 | 12:58pm

Bapa rogol anak dipenjara 40 tahun, 20 sebatan

KOTA KINABALU: Seorang bapa dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anaknya.

Hakim Ainul Shahrin Mohamed turut memerintahkan lelaki berusia 45 tahun itu dikenakan hukuman 20 sebatan.

Dalam pertuduhan pertama mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, tertuduh didapati bersalah melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya di Menggatal, di sini pada Disember 2015 ketika mangsa berusia 12 tahun.

Bagi pertuduhan kedua di bawah akta sama, tertuduh didapati melakukan kesalahan sama terhadap mangsa pada Februari 2016.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Ainul memerintahkan tertuduh untuk menjalani penjara 20 tahun dengan 10 sebatan bagi kesalahan pertama, manakala 20 tahun penjara dan 10 sebatan untuk kesalahan kedua.

Ainul turut memerintahkan hukuman pertama dijalankan bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Januari 2016 dan hukuman kedua dijalankan selepas hukuman pertama selesai.

Ketika rayuan, peguam PJ Pereira yang mewakili tertuduh, berkata tertuduh tiada kesalahan lampau dan ia adalah kesalahan pertama anak guamnya, selain memberikan kerjasama yang baik kepada polis sepanjang tempoh tahanan.

Sementara itu, pegawai pendakwa, Cif Inspektor Lim Swee Beng yang mewakili Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zahidah Abdullah menegaskan tertuduh melakukan jenayah berat terhadap mangsa dan meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

"Ini adalah satu kesalahan yang serius dan ia akan meninggalkan trauma kepada mangsa tanpa mengira umurnya," katanya.

Berita Harian X