Rabu, 28 March 2018 | 4:31pm
SEORANG mangsa penipuan peniaga di laman Instagram menunjukkan akaun dipercayai aktif menipu orang ramai menerusi tawaran telefon pintar berharga murah kepada Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Tertipu tawaran peniaga Instagram

KUALA LUMPUR: Seorang individu bergelar Datuk, antara ratusan mangsa penipuan satu akaun Instagram, yang menawarkan telefon pintar berjenama pada harga yang amat rendah.

Peniaga berusia 48 tahun itu mendakwa, sehingga ke hari ini, sudah ramai mangsa yang tampil membuat laporan polis berhubung penipuan itu, namun pemiliknya terus menjalankan perniagaannya.

"Saya berurusan dengan mereka untuk membeli sebuah telefon pintar. Saya dimaklumkan perlu membayar harga telefon berkenaan untuk proses tempahan awal (pre-order).

"Apabila tiba masanya, peniaga berkenaan tidak memberikan telefon yang sudah dipesan dan dibayar. Saya cuba mendapatkan semula wang saya dan kemudian saya dapat tahu, sebelum saya, ramai lagi yang sudah ditipu, ada antara mereka juga membuat laporan polis.

"Selain itu, peniaga ini juga berani meletakkan syarat jika pembeli membatalkan pesanan, pembeli akan dikompaun sebanyak RM200," katanya pada sidang media di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Sekretariat Pendidikan dan Latihan PPIM, Juliana Sawarin, berkata berdasarkan siasatan PPIM, pemilik akaun berkenaan masih meneruskan perniagaannya walaupun laporan polis dibuat terhadap mereka.

"Mereka masih beroperasi seperti biasa dan dipercayai, jika ada pelanggan yang bertanyakan mengenai status telefon yang masih belum diterima, komen itu akan dipadamkan daripada ruangan komen.

"Kita dapat kesan pemilik akaun kini masih mengambil tempahan, tapi apa yang dilakukan adalah wang yang diterima daripada pelanggan baru digunakan untuk membayar pelanggan lama.

"Setakat ini, berdasarkan aduan yang kita terima, jumlah kerugian sudah mencecah puluhan ribu ringgit dengan jumlah kerugian setiap seorang mangsa lebih kurang RM1,500," katanya.

Berita Harian X