Khamis, 29 March 2018 | 2:32pm
DATUK Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar (kanan) menjawab soalan wartawan, selepas keputusan inkues perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 yang mengakibatkan 2 beranak maut di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. - Foto Farizul Hafiz Awang

Tragedi EIMARace: Kejadian tidak dapat dielakkan - Koroner

KUANTAN: Kematian dua beranak ketika menonton Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) pada September 2016, diputuskan oleh Mahkamah Koroner Kuantan di sini, hari ini, sebagai kejadian tidak dapat dielakkan.

Koroner, Dazuki Ali, turut memutuskan kematian Izwan Isa, 39, pada jam 12.20 tengah hari 25 September 2016 dan anak bongsunya, Nur Zulaikha, 5, pada jam 2.20 petang hari sama di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), adalah akibat kemalangan jalan raya.

Beliau dalam penghakimannya berkata, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur sudah melakukan perancangan dengan baik walaupun ada perubahan lokasi dan arah laluan perlumbaan di litar baharu di Jalan SUKPA, Indera Mahkota di sini.

"Pihak terbabit sudah mematuhi piawaian ditetapkan dalam penganjuran perlumbaan dan mengambil langkah sewajarnya dari aspek keselamatan, termasuk keselamatan pelumba.

"Ini boleh dilihat daripada pemeriksaan diadakan dari semasa ke semasa dan apabila berlaku kekurangan, langkah meningkatkan keselamatan diambil," katanya.

Sebelum ini, prosiding inkues diberitahu kemalangan itu juga menyebabkan isteri mangsa, Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka, Muhammad Iz Danial, 7, cedera.

Dazuki berkata, Izwan yang juga penyelia kilang mengalami kecederaan parah di dada, termasuk patah banyak tulang rusuk sehingga berlaku lebam teruk dan koyakan di paru-paru.

Nur Zulaikha pula mengalami kecederaan parah di kepala seperti retak tulang tengkorak dan pendarahan otak yang menyebabkan bahagian itu bengkak sehingga menghalang aliran darah, sekali gus mengakibatkan kematian.

"Mengenai bagaimana mereka menemui ajal, saya mendapati mereka dilanggar jentera go-kart bernombor 27 yang terbabas ke kanan litar sebelum melanggar water barrier (penghadang) selepas bergesel dengan go-kart bernombor 22 dan 33," katanya.

Keterangan sebelum ini mengesahkan pemandu go-kart bernombor 27 ialah Azril Ba'ith Razak, 25, mewakili Universiti Multimedia Melaka, manakala go-kart bernombor 22 dipandu Ahmad Saifuddin Mahamud, 23 (Institut Kemahiran Belia Negara Wakaf Tapai, Terengganu) dan bernombor 33 dipandu Mohd Rashid Safuan Mohd Sopie, 19 (Politeknik Muadzam Shah).

Dazuki membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan 20 saksi inkues sejak prosiding bermula 11 Disember tahun lalu.

Prosiding inkues itu dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Wahida Zainal Abidin; peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili UTM; Che Ariffin Mohd Ali (wakil keluarga mangsa); Mohd Syahril Daud (Persatuan Sukan Permotoran Malaysia); Juliana Abu Bakar dan Rosmah Rosli (Majlis Perbandaran Kuantan); serta Ahmad Hazwan Hamdan (Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser).

Berita Harian X