Khamis, 29 March 2018 | 3:26pm

OKU cabul adik kandung dipenjara 5 tahun

KUANTAN: Seorang lelaki lembam dihukum penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana dituduh mencabul adik kandungnya tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 26 tahun, dari Kampung Gudang Rasau, di sini, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memegang kemaluan dan punggung adik kandungnya yang berusia 11 tahun di kediaman mereka di Kampung Gudang Rasau pada jam 7 malam 8 Ogos 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh memaksa adik kandung memegang kemaluannya di lokasi, tarikh dan masa yang sama, yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman diringankan atas alasan dia adalah OKU dan hanya bekerja di kilang memproses ayam dengan gaji RM30 sehari.

Dazuki menjatuhkan hukuman masing-masing lima tahun penjara bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan ia dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 12 Ogos 2017.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa mengadu kepada ibunya bahawa abangnya iaitu tertuduh membawa mangsa masuk ke dalam bilik dan menarik tangannya untuk memegang kemaluan tertuduh.

Tertuduh kemudian memeluk dan meraba punggung mangsa, tertuduh juga turut melakukan perkara sama kepada adik beradik perempuannya yang lain sehingga menyebabkan mereka takut untuk berdepan dengan tertuduh.

Berita Harian X