Sabtu, 31 March 2018 | 11:04am

Pelajar maut rempuh belakang lori

KULAI: Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 38.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Dalam nahas jam 2.50 pagi itu, Mohammad Fareez Mohammad Rosli, 17, yang cedera di bahagian kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit dan beralamat di Taman Scientex di sini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah lori, kereta Perodua Axia, motosikal Honda Dash dan Yamaha LC135.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda Dash melanggar bahagian belakang lori sedang bergerak di lorong kiri.

"Akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh ke atas jalan raya dan pada masa sama, datang kereta Perodua Axia tetapi pemandunya tidak sempat mengelak.

"Kereta terlanggar motosikal dan penunggangnya itu kemudian hilang kawalan serta merempuh belakang lori sebelum datang sebuah lagi motosikal yang tidak sempat mengelak lalu terbabas," katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta, T Sanmuga, 45, dan penunggang motosikal Yamaha LC135, Arif Ridzuan Masran, 17, cedera dan dirawat di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini.

Katanya, pemandu lori terbabit, Zainal Abidin Shamsuddin, 65, bagaimanapun tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X