Isnin, 2 April 2018 | 5:50pm
KETUA Polis negeri, Datuk A Thaiveegan. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
KETUA Polis negeri, Datuk A Thaiveegan. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kes Guan Eng dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya

GEORGETOWN: Polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes membabitkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang didakwa menghasut kanak-kanak membenci kerajaan ke Pejabat Pendakwa Raya, hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan, berkata ketika ini pihaknya hanya menunggu jawapan daripada Pejabat Pendakwa Raya, bagi tindakan selanjutnya.

"Kertas siasatan sudah pun dilengkapkan dan sudah dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya hari ini," katanya hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semalam, dua pegawai daripada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut tiba di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini, bagi merakam keterangan Guan Eng.

Mereka dilihat mengambil keterangan Guan Eng yang ditemani peguam beliau, RSN Rayer, kira-kira jam 2.55 petang.

Dalam video berdurasi 32 saat yang tersebar pada Mac lalu, Guan Eng dilihat cuba menyemai kebencian politik dalam kalangan kanak-kanak dengan menari dan mengejek dasar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam rentak lagu A, B, C.

Video itu dirakam ketika perasmian Pusat Tuisyen Rakyat Pulau Pinang di Jelutong, di sini, menerima kritikan banyak pihak yang menyelar tindakan Guan Eng yang dianggap sebagai pemimpin tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X