Selasa, 10 April 2018 | 1:05pm

Ibu tunggal dipenjara 6 bulan

KOTA BHARU: Dua ibu tunggal dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana terbabit dengan aktiviti persundalan, bulan lalu.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Miss Masitoh Pradu, 34, dari Thailand dan Alya Zara Abidin, 27, mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap kedua-dua tertuduh pada 29 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di dua bilik berasingan di sebuah hotel, di sini, pada jam 6.15 petang, 29 Mac lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis membuat pemeriksaan di sebuah hotel dan menahan tertuduh.

Pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai barang milik tertuduh, termasuk kondom, resit hotel dan telefon bimbit.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam masing-masing merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menyara anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shahirun Azri Mohd Nordin memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kes.

DUA ibu tunggal termasuk seorang warga Thailand, Miss Masitoh Pradu dan Alya Zara Abidin dipenjara enam bulan di Mahkamah Majistret terhadap tuduhan terbabit dengan aktiviti persundalan, di dua bilik berasingan di sebuah hotel di sini pada 29 Mac 2018 lalu. - Foto Zaman Huri Isa
DUA ibu tunggal termasuk seorang warga Thailand, Miss Masitoh Pradu dan Alya Zara Abidin dipenjara enam bulan di Mahkamah Majistret terhadap tuduhan terbabit dengan aktiviti persundalan, di dua bilik berasingan di sebuah hotel di sini pada 29 Mac 2018 lalu. - Foto Zaman Huri Isa
Berita Harian X