Selasa, 10 April 2018 | 3:38pm

Cemas berhadapan ular

KOTA MARUDU: Seorang peniaga burger berdepan detik cemas apabila seekor ular tedung hitam berukuran 1.5 meter bersembunyi selama enam jam di rumahnya di Kampung Selaping, Jalan Radu di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Datu Mohd Akmal Izuddin, 26, pada mulanya melihat ular berkenaan berada di ruang tamu rumah dan cuba menghalaunya keluar, namun ia menjalar ke dalam lubang di dinding kediamannya.

"Saya cuba mencarinya selama beberapa jam tetapi gagal sebelum meneruskan kerja penyediaan alat dan bahan untuk memasak burger dalam keadaan bimbang.

"Berikutan itu, kerja untuk menyediakan alat berniaga menjadi tidak tentu arah kerana memikirkan keselamatan diri yang diancam ular di dalam rumah.

"Tidak lama selepas itu, kebetulan saya memasuki bilik tidur untuk mengambil barang dan terkejut melihat ular terbabit berada di hadapan saya sambil mengangkat kepalanya. Saya segera menjauhkan diri dan menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Sementara itu, pegawai APM Unit Kota Marudu, Farith @ Dickson Piransang, berkata sebaik menerima panggilan jam 2.10 petang, empat anggota dihantar ke lokasi.

"Sebaik tiba, anggota APM memeriksa bilik tidur pengadu dan menemui ular tedung berwarna hitam berukuran 1.5 meter dengan berat satu kilogram berada di celah dinding.

"Ular berkenaan kemudian ditangkap menggunakan penyepit dan cangkuk sebelum dibawa ke pejabat APM Tuaran untuk diletakkan dalam sangkar sementara," katanya.

Farith berkata, operasi mencari dan menangkap ular mengambil masa kira-kira 20 minit berikutan reptilia itu bertindak agresif.

ANGGOTA APM menangkap ular tedung berwarna hitam di Kampung Selaping, Jalan Radu, Kota Marudu. - Foto Recqueal Raimi
Berita Harian X