Rabu, 11 April 2018 | 11:57am

Macau Scam menyamar pegawai kementerian

ALOR SETAR: Sindiket Macau Scam yang menggunakan panggilan telefon untuk memperdayakan mangsa, dikesan menggunakan kaedah terbaru dengan menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Di Kedah, empat mangsa nyaris terpedaya apabila mangsa membuat panggilan ke nombor telefon yang digunakan sindiket itu, tertera nombor talian KKM malah ia juga akan disambung terus ke jabatan itu.

Suspek melakukan penipuan menggunakan teknik 'spoofing' iaitu penyamaran nombor talian apabila pemanggil menggunakan perkakasan Internet ketika membuat panggilan melalui Internet (VOIP).

Sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak beberapa hari lalu berikutan empat mangsa terbabit membuat laporan polis dalam tempoh dua hari lalu selepas mengesyaki sesuatu mencurigakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Chan Teck Paing berkata, empat individu terbabit masing-masing membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Beliau berkata, dua laporan polis itu dibuat Ahad lalu dan dua laporan lagi dibuat kelmarin di balai sama oleh empat mangsa berusia 40-an hingga 59 tahun.

"Mereka mendakwa dihubungi individu dengan nombor telefon sama iaitu dari Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPCB) KKM menggunakan nombor telefon 03-78835400.

"Sindiket itu menghubungi mangsa dan memberitahu ada pihak hadir ke hospital menggunakan identiti mangsa terbabit untuk mengambil ubat tidur sebanyak 21 biji sebanyak tiga kali.

"Suspek kemudian turut meminta mangsa membuat laporan polis bagi meyakinkan mangsa," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Chan berkata, sekiranya mangsa bersetuju, sindiket itu akan memindahkan panggilan kepada sekutunya yang menyamar sebagai 'polis' kononnya untuk memudahkan laporan dibuat.

Bagaimanapun, keempat-empat mangsa itu bernasib baik apabila memutuskan talian selepas mengesyaki sesuatu mencurigakan sebelum membuat laporan di balai polis.

"Sindiket ini mensasarkan kaum Cina yang terdiri daripada pesara, kerani dan peniaga di sekitar negeri ini yang bertujuan mendapatkan wang dengan jalan mudah.

"Namun, setakat ini tiada kerugian dialami kerana semua mangsa terus membuat laporan polis untuk memudahkan kita menjalankan siasatan," katanya.

Chan berkata, pihaknya percaya sindiket itu beroperasi dalam sebuah bangunan yang dipercayai menjadi pusat untuk menghubungi mangsa untuk memperdaya mereka.

Beliau berkata, segala data termasuk nama penuh, nombor telefon, alamat serta Mykad mangsa berkemungkinan diperoleh daripada pihak tidak bertanggungjawab yang menjual maklumat peribadi mangsa.

"Setakat ini kita sedang mengumpul maklumat berkaitan sindiket ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mereka supaya tampil membantu pihak kami.

"Saya percaya berkemungkinan ramai lagi yang menjadi mangsa kerana dalam tempoh dua hari, sudah ada empat laporan polis berhubung kes ini," katanya.

Berita Harian X