Khamis, 12 April 2018 | 12:11pm

Dua sahabat dihukum gantung

JOHOR BAHRU: Dua sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 5.49 kilogram dua tahun lalu.

Tertuduh, Taza Tarji, 23, dan Herman, 34, yang dari awal menundukkan kepala, kemudian dilihat menangis di sisi ahli keluarga serta saudara-mara hadir pada prosiding itu.

Mereka terus beremosi apabila melihat kumpulan pengamal media bertugas, malah Herman yang juga warga Indonesia dilihat beberapa kali cuba menendang jurugambar, manakala Taza, warga tempatan pula melindungi wajahnya daripada dirakamkan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu terhadap kedua-dua tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan gagal menyangkal anggapan pendakwaan pada akhir kes pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, Taza yang bekerja sebagai pelayan, dan Herman seorang pekerja kontrak, didakwa mengedar dadah berkenana di atas sampan fiber berwarna merah biru di kira-kira 1.1 batu nautika dari perairan Tanjung Piai, Pontian, pada jam 4.15 petang 27 September 2016.

Mengikut fakta kes, pemeriksaan dilakukan di dalam sampan digunakan kedua-dua tertuduh, menjumpai satu beg celoreng yang diletakkan di haluan sampan.

Beg itu didapati berisi bungkusan makanan dan minuman segera, namun dipercayai dibungkus semula, selain bungkusan surat khabar dan plastik lutsinar yang berisi serbuk kristal disyaki dadah.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman, yang mengemukakan enam saksi sepanjang prosiding perbicaraan bermula 23 Julai tahun lalu.

Taza diwakili peguam Lydiana Mansor, manakala Herman diwakili peguam Azrul Sani, dengan empat saksi pembelaan dipanggil pada prosiding bela diri.

Tertuduh, Herman dan Taza Tarji dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah atas tuduhan memiliki dadah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X