Jumaat, 13 April 2018 | 11:30am
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) Johor. - Foto Zain Ahmed

Kes pertama bawah Akta Antiberita Tidak Benar

JOHOR BAHRU: Mesej viral mengatakan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, akan memberi bantuan di beberapa pasar raya, semalam, menjadi kes pertama disiasat polis mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang dikuatkuasakan kelmarin.

Mesej mendakwa TMJ akan memberi bantuan sehingga RM200 di Pontian dan beberapa daerah lain viral di media sosial, menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut di beberapa pasar raya.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pada jam 10 pagi kelmarin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menerima maklumat kehadiran orang ramai di pasar raya Econsave Pontian selepas mesej mendakwa TMJ akan memberi bantuan menjadi viral.

"Hasil siasatan mendapati mesej itu adalah palsu dan penyebaran maklumat seumpama itu turut dikesan di beberapa lokasi lain di negeri ini.

"Berikutan itu, kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

"Seseorang itu juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas disabitkan bersalah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Orang ramai menyerbu pasaraya Econsave di Pontian setelah tularnya berita bahawa Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dikatakan akan membelanjakan sejumlah wang kepada rakyat yang berada di Econsave semalam. - Foto Ihsan Enconsave

Mohd Khalil berkata, selain itu, polis Johor menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun.

Beliau berkata, jika kesalahan itu masih diteruskan selepas disabitkan bersalah, seseorang itu boleh didenda sehingga RM3,000 selama kesalahan masih berlaku.

Berikutan itu, katanya, polis menasihatkan orang ramai menyemak kesahihan berita dan jangan mudah percaya apa yang diterima di media sosial.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, pengendali media sosial atau portal berita yang menulis dan menyebarkan laporan palsu, menyakitkan hati, jelik atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang menyalahgunakan media sosial mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

28198 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »