Jumaat, 13 April 2018 | 3:31pm
M Nagan Kumar (kiri) dan S Theventiran dipenjarakan 12 tahun dan 7 sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di kedai arak dan sebuah hotel membabitkan kerugian RM50,000.00 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. - Foto Saifullizan Tamadi.

Rompak bersenjata, dua rakan dipenjara dan sebat

PETALING JAYA: Dua rakan masing-masing dihukum penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merompak minuman keras, wang tunai dan barang kemas menggunakan parang di sebuah kedai arak dan hotel, membabitkan kerugian bernilai RM40,475, Januari lalu.

S Theventhiran, 38, dan pemandu peribadi, M Nagan Kumar, 40, dijatuhi hukuman itu selepas kedua-duanya menukar pengakuan bersalah sebaik pertuduhan pindaan dibacakan semula.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim S Mabel Muttiah menasihatkan kedua-dua tertuduh supaya berubah dan menginsafi perbuatan mereka ketika menjalani hukuman di penjara.

"Mahkamah kecewa kerana saya dapat melihat kebijaksanaan dalam diri anda berdua berdasarkan cara pertanyaan ketika sesi soal dalam perbicaraan sebelum ini.

"Tetapi, sayangnya kamu berdua tidak menggunakan kepandaian ini dengan betul. Berubahlah demi diri sendiri, keluarga dan bangsa kamu," katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah parang iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian atau parah dan merompak barang kemas, minuman keras dan wang tunai bernilai RM40,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai Great Son Research di Nombor 15-1, Jalan USJ 21/3 Subang Jaya, dekat sini, pada jam 10 pagi, 26 Januari lalu.

Sementara itu, di hadapan Hakim Norshila Datuk Kamaruddin, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Muhammad Romi Saputra Nazri, 23, dengan merampas satu telefon bimbit jenama Asus dan wang tunai RM475 dengan menggunakan dua bilah parang sebagai senjata yang boleh menyebabkan kematian atau parah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel, USJ 21, Subang Jaya, dekat sini, jam 3.45 pagi, 28 Januari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebat.

Di hadapan Mabel, mereka dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan manakala di hadapan Norshila, kedua-dua mereka dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman dijalankan serentak bermula tarikh tangkap iaitu 28 Januari lalu.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan kedua-dua mereka insaf dan mempunyai tanggungjawab untuk menyara ahli keluarga mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, V V Suloshani dan Shahzreen Nadia Zulkipli bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan alasan tindakan mereka adalah kesalahan serius kerana menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kecederaan parah.

Berita Harian X