Jumaat, 13 April 2018 | 4:57pm

'Polis tak pernah telefon suspek'

KUALA LUMPUR: Polis tidak pernah menghubungi suspek atau orang ramai melalui telefon, memaklumkan mereka melakukan kesalahan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman (Risikan dan Operasi), Datuk Sakri Ariffin, berkata, agensi awam atau pihak bank juga tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta sebarang bayaran atau pemindahan wang.

"Kebiasaannya, sindiket akan menghubungi mangsa dan mendakwa sama ada dari Bank Negara Malaysia (BNM), polis atau pihak bank komersial dengan mendakwa mangsa adalah 'suspek' kejadian jenayah.

"Kami pihak polis tidak pernah menghubungi suspek jika benar mereka melakukan kesalahan. Tiada keperluan untuk menghubungi orang yang buat salah, jadi orang awam perlu tahu perkara ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sakri berkata, mangsa kebiasaannya akan panik lebih-lebih lagi apabila diugut sindiket kononnya mangsa sedang disiasat dan bakal dikenakan tindakan menyebabkan mereka mematuhi arahan sindiket.

"Satu lagi perkara yang orang awam perlu tahu, tiada agensi yang akan meminta orang yang dihubungi untuk menghubungi agensi awam lain.

"Sebagai contoh, pegawai polis tidak akan meminta orang ramai menghubungi BNM untuk siasatan sesuatu kes

"Nasihat saya juga, jangan sewenang-wenangnya mendedahkan atau memberikan butiran peribadi kepada orang yang tidak kenali, sebaiknya semak dahulu daripada sumber yang sah," katanya.

Semalam, seorang jurutera di sektor swasta berusia 43 tahun kerugian lebih RM17,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis melalui panggilan telefon.

Dalam kejadian itu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Majid, yang kononnya bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Simpang Tiga, Kuching, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, ketika dihubungi berkata, kereta mangsa didakwa terbabit dalam kemalangan dan mendapati kad ATM mangsa mempunyai 23 kes pengubahan wang haram di Sabah.

Beliau berkata, pemanggil meyakinkan mangsa kononnya dapat membantu mangsa untuk menyelesaikan masalah berkenaan tanpa ditahan.

"Lelaki itu mengambil semua maklumat peribadi mangsa dan mengarahkannya untuk pergi ke bank terdekat dan memindahkan wang daripada semua akaun ke satu bank yang paling selamat milik mangsa sendiri.

"Suspek mengarahkan mangsa untuk menukar beberapa tetapan dalam perbankan atas talian milik mangsa dan menggodam akaun mangsa dengan memindahkan wang ke akaun lain," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X