Ahad, 15 April 2018 | 7:45pm
NUR Hayanis maut ketika menjalani aktiviti mendaki Bukit Pelarik di Kaki Bukit di Padang Besar, awal pagi tadi. - Foto Facebook mangsa

Panggilan terakhir kepada ibu sebelum maut

PADANG BESAR: Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Nur Hayanis Hairunizan, 20, yang maut ketika menjalani aktiviti mendaki Bukit Pelarik di Kaki Bukit di sini, awal pagi tadi, sempat menghubungi ibunya sebelum memulakan pendakian.

Kakak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nabila, 20-an, berkata melalui panggilan itu, arwah yang lebih mesra dipanggil Hanis, teruja untuk mendaki bukit berkenaan.

"Kali terakhir kami berjumpa ialah Isnin lalu sebelum arwah pulang ke UniMAP pada hari sama.

"Hanis memang seorang yang aktif dan menggemari aktiviti mendaki bukit. Setiap kali mahu melakukan aktiviti itu, dia pasti akan menghubungi kami," katanya.

Namun kali ini, beliau berkata, Nur Hayanis hanya menghubungi ibunya pada sebelah pagi dan tiada panggilan lagi ketika aktiviti.

"Hanis selalunya akan menghubungi kami untuk memaklumkan setiap aktiviti dilakukan ketika mendaki tetapi tidak kali ini, dan kami sangka mungkin kerana tiada liputan talian.

"Kami hanya mengetahui dirinya mengalami kemalangan selepas mendapat panggilan daripada pihak universiti, awal pagi tadi," katanya.

Terdahulu, Nur Hayanis yang sedang mengikuti pengajian tahun satu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) (Teknologi Makanan), bersama 22 pelajar UniMAP dan tiga pengiring mendaki bukit itu pada jam 8.30 pagi semalam, diketuai seorang penyelaras program terbabit.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Pemangku Superintendan Muhamad Halim Yatim, dilaporkan sebagai berkata pada jam 3 petang, peserta turun dari bukit dalam kumpulan kecil.

"Mangsa adalah kumpulan terakhir yang turun. Dia dikatakan jatuh tersembam ketika menuruni bukit, namun mampu berdiri semula untuk meneruskan perjalanan," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Muhamad Halim berkata, Nur Hayanis kemudian tiba-tiba pengsan ketika masih di atas bukit itu sebelum pasukan menyelamat tiba dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 3 pagi.

Mengulas lanjut, Nabila berkata, arwah tiada menunjukkan sebarang perubahan sebelum hari kejadian.

"Hanis hanya memberitahu kami bahawa kakinya sakit kerana terpaksa menggunakan tangga ke tingkat enam kolej kediamannya berikutan lif rosak.

"Jadi, mungkin dirinya letih dan tidak cukup rehat untuk melakukan aktiviti berkenaan," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal, berkata pendakian bukit terbabit adalah program anjuran pihak luar dan bukan aktiviti kampus.

Berita Harian X