Isnin, 16 April 2018 | 8:59pm
Surirumah berusia 32 tahun ditemui mati dengan kesan jerutan pada leher dipercayai disamun dua suspek dalam bilik utama sebuah rumah di Taman Permai. - Foto Farah Suhaidah Othman

Samun dan bunuh dalam 10 minit

IPOH: Seorang suri rumah yang hanya dikenali sebagai T. Iswari berusia 34 tahun ditemui mati dalam bilik utama rumah keluarganya dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Taman Permai di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata kejadian berlaku pada jam 1.45 petang ketika mangsa berada di rumah itu bersama bapa mentuanya yang mengalami masalah pendengaran dan berada di bilik berasingan ketika kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai disamun oleh dua lelaki yang melarikan barangan kemas miliknya termasuk rantai dan anting-anting dianggarkan bernilai RM2,000 hingga RM3,000.

"Kejadian hanya disedari kira-kira dua jam kemudian apabila adik ipar perempuan mangsa pulang ke rumah dan mendapati mangsa terbaring dalam bilik berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati leher mangsa mempunyai kesan cedera dipercayai dijerut menggunakan tali nilon," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Yahya berkata, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian mendapati dua suspek lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun masuk ke rumah berkenaan pada jam 1.45 petang dan keluar 10 minit kemudian.

"Polis sudah mengenal pasti kedua-dua suspek dan kita percaya suspek mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa," katanya.

Beliau berkata, polis melancarkan operasi bagi menjejaki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, sepupu mangsa, M Krishnama, 40, berkata beliau tidak sangka ajal sepupunya berakhir dalam keadaan begitu.

Katanya, kali terakhir beliau bertemu mendiang dalam satu upacara kematian salah seorang ahli keluarga mereka minggu lalu.

"Dalam rumah, mendiang tolong jaga bapa dan bapa mentuanya selain rajin membantu orang lain jika ada kesusahan. Saya terkejut apabila ahli keluarga memaklumkan apa yang berlaku kepadanya petang tadi," katanya.

5394 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »