Khamis, 19 April 2018 | 1:27pm
KEMALANGAN di Kilometer 75.1 Jalan Sitiawan - Taiping yang mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun maut. - Foto Ihsan Bomba

Kanak-kanak maut, sepupu parah

TAIPING: Perjalanan lima sekeluarga bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala sepupunya parah selepas kereta dipandu bapa mereka bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 75.1 Jalan Sitiawan - Taiping, dekat Trong, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa, Muhammad Dayrish Farhan Muhammad Nurul Ikmal, 3, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping, manakala sepupunya, Muhammad Daryyan Firzi, 2, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh akibat parah di kepala.

Kemalangan membabitkan kereta PROTON Saga dinaiki lima sekeluarga itu turut mengakibatkan bapa kanak-kanak terbabit, Muhammad Nurul Ikmal Mohamed Hasshim, 22, cedera, manakala ibunya, Azrin Shafina Amrizal, 22, dan ibu saudara, Amelia Rozi Amrizal, 30, terselamat.

Pasangan suami isteri berusia 58 dan 56 tahun yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Haval yang terbabit kemalangan dengan itu juga cedera, namun hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata siasatan awal mendapati kereta dinaiki lima sekeluarga itu yang tinggal di Kampung Matang Gelugor, Matang, di sini dalam perjalanan dari arah Sitiawan ke Taiping.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta SUV dinaiki pasangan suami isteri berasal dari Padang Serai, Kedah itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan PROTON Saya dinaiki keluarga berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, dua kanak-kanak lelaki cedera di kepala dan dikejarkan ke hospital, namun kira-kira jam 11.45 malam tadi, pihak hospital mengesahkan mangsa yang berusia tiga tahun meninggal dunia, manakala sepupunya dirujuk ke HRPB untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan cuaca baik ketika kemalangan berlaku dan laluan adalah dua hala dengan jalan berselekoh serta ada garisan berkembar di tengah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X