Khamis, 19 April 2018 | 4:10pm
PENGARAH JPJ Johor, Razali Wagiman pada sidang media mengenai Inisiatif Khas dan Statistik di pejabat JPJ Johor di Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Tak ramai dapatkan diskaun saman JPJ

JOHOR BAHRU: Sebanyak 4,651 saman tertunggak dijelaskan di negeri ini sejak tawaran pengurangan 70 peratus kompaun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diumumkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi pada 2 April lalu.

Bagaimanapun, jumlah itu dilihat masih terlalu sedikit dan tidak menepati sasaran 50,000 saman tertunggak sepanjang tempoh tawaran, berakhir 2 Mei ini.

Pengarah JPJ negeri, Razali Wagiman berkata, berdasarkan rekod, terdapat 100,000 saman tertunggak JPJ Johor, namun jumlah itu tidak termasuk saman yang tidak boleh diberikan diskaun.

Ini kerana, katanya, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah saman tertunggak yang direkodkan itu akan dijelaskan.

"Sejak 3 April lalu hingga semalam, sebanyak 4,561 saman sudah dijelaskan membabitkan kutipan berjumlah RM354,977.

"Ia bukan soal jumlah yang dapat dikutip, tetapi orang ramai yang mempunyai saman JPJ mengambil peluang ditawarkan untuk menjelaskan saman atau kompaun tertunggak.

"Saman atau kompaun yang dijelaskan ini dapat mengelak nama mereka disenarai hitam dan kami menasihatkan orang ramai jangan bertindak pada saat akhir kerana tempoh tawaran tidak akan dilanjutkan," katanya pada sidang media di Pejabat JPJ negeri di sini, hari ini.

Razali berkata, tidak semua saman atau kompaun boleh mendapat potongan 70 peratus termasuklah kompaun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kesalahan Berat Dengan Muatan (BDM) atau lebih muatan bagi kenderaan lebih lima tan, saman mahkamah serta saman dan kompaun membabitkan warga asing.

Pada masa sama, beliau mengingatkan Program Pemutihan bagi kenderaan persendirian yang Lesen Kenderaan Motor (LKM) tidak diperbaharui dalam tempoh tidak melebihi tiga tahun masih dibuka sehingga 30 Jun ini.

"Selepas inisiatif khas itu diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 24 Mac lalu, seramai 341 penunggang motosikal mengambil peluang memperbaharui LKM membabitkan kutipan sebanyak RM682.

"Selain itu, sebanyak 152 LKM kereta diperbaharui di bawah program ini dengan nilai kutipan RM15,224.60," katanya.

Berita Harian X