Jumaat, 20 April 2018 | 4:54pm
TERTUDUH, warganegara India, Rahaman Sukuler (tengah) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM2,000 sejurus mengaku bersalah mencuri bawang besar bernilai RM11.26 di sebuah pasar raya di Melaka Sentral. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Penjara, denda kerana curi bawang

AYER KEROH: Akibat mencuri bawang berjumlah RM11.26 di sebuah pasar raya, seorang pekerja khidmat pelanggan dipenjara tiga hari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap warganegara India, Rahaman Sukuler, 28, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan Zara Mydin Melaka Sentral didakwa dengan niat curang mencuri dua beg plastik bawang besar bernilai RM11.26 milik syarikat itu jam 12.04 tengah malam, pada 6 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana mempunyai gaji tetap dan tidak sepatutnya mencuri.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu hukuman denda yang dikenakan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X