Sabtu, 21 April 2018 | 8:07pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan di Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan di Seremban, hari ini. - Foto BERNAMA

Kereta rempuh motosikal bawah jejambat

SEREMBAN: Seorang cedera manakala lebih 10 motosikal yang diletakkan di bahu jalan di bawah jejambat kerana penunggangnya berteduh dari hujan musnah apabila dirempuh dua kenderaan di Kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan di sini hari ini.

Seorang penunggang cedera ringan manakala yang lain selamat kerana berada jauh dari motosikal masing-masing di sebalik penghadang jalan ketika hujan lebat.

Dianggarkan sebanyak 12 motosikal terbabit dalam rempuhan itu sebahagian besarnya menyebabkan kerosakan teruk.

Seorang saksi mendakwa, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan merempuh beberapa motosikal yang berhenti berteduh di bawah jejambat ketika hujan lebat.

"Semua pemilik motosikal itu bernasib baik kerana berada agak jauh daripada motosikal mereka. Tapi motosikal yang dirempuh rosak teruk," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata siasatan mendapati sebuah kereta dipandu wanita berusia 23 tahun dari arah Senawang ke Banting hilang kawalan selepas melanggar lopak air.

"Keretanya kemudian melanggar pembahagi jalan sebelum melintang di tengah jalan. Sebuah kenderaan lain di belakangnya tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta itu.

"Kedua-dua kenderaan itu kemudian terbabas ke lorong kecemasan dan merempuh 12 motosikal yang berada di bawah jejambat," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, penunggang motosikal wanita yang cedera di dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X