Ahad, 22 April 2018 | 2:48pm
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin . - Foto Adzlan Sidek
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin . - Foto Adzlan Sidek

Lelaki tembak kereta pasangan suami isteri

SEREMBAN: Seorang peniaga dan isterinya ketakutan apabila seorang lelaki tidak dikenali melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta dinaiki mereka di persimpangan lampu isyarat di sebuah pusat beli-belah, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata kejadian jam 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 46 tahun dan isterinya berusian 40-an menaiki kereta jenis BMW dari Kuala Sawah, Rantau menghala ke Pekan Seremban.

Katanya, sebaik berhenti di lampu isyarat, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang menaiki sebuah motosikal menghampiri kenderaan mangsa lalu melepaskan tiga das tembakan di bahagian belakang.

"Lelaki itu yang memakai jaket hitam berhenti di sebelah kiri kereta dan mangsa ternampak dia memegang sepucuk pistol. Suspek kemudian beredar dalam keadaan jalan sesak dan hujan lebat," katanya.

Noor Azam berkata, pemeriksaan dilakukan mangsa mendapati terdapat tiga kesan tembakan di bahagian belakang keretanya, menyebabkannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini.

"Mangsa adalah pemilik sebuah syarikat import kepala lori sejak 2009 dan mempunyai rangkaian bersama beberapa syarikat lain. Mangsa memberitahu tidak berdepan sebarang masalah sejak perniagaan itu diusahakan," katanya.

Noor Azam berkata, isteri mangsa memberitahu suaminya gemar melakukan kerja amal dan menderma kepada mereka yang memerlukan.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan membabitkan semua sudut. Kita akan mengenal pasti sama ada punca kejadian disebabkan masalah perniagaan, hutang, dendam atau sebagainya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Berita Harian X