Ahad, 22 April 2018 | 10:10pm
GADIS berusia 28 tahun diselamatkan seorang polis bantuan ketika cubaan membunuh diri di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Rabu minggu lalu. - Foto ihsan bomba

Kes terjun jambatan, siasatan polis di peringkat akhir

BUTTERWORTH: Polis kini dalam peringkat akhir menyiapkan kertas siasatan berhubung cubaan bunuh diri seorang gadis di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini, Rabu minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, keterangan berhubung kejadian juga sudah diambil daripada gadis berkenaan dan sedang menyiapkan kertas siasatan.

Beliau berkata, kes masih disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

"Gadis berkenaan masih menerima rawatan di hospital dan polis masih memantau keadaannya.

"Selepas kertas siasatan selesai ia akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi diambil tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, gadis berusia 28 tahun berkenaan terjun di Kilometer 9.9 Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah jam 11:13 pagi.

Dia meninggalkan Toyota Avanza miliknya di tepi jalan sebelum terjun ke laut.

Bagaimanapun, gadis berkenaan berjaya diselamatkan seorang polis bantuan, Konstabel Zaidi Salleh, 52 yang ketika itu sedang bertugas bersama dua lagi rakannya.

Berita Harian X