Isnin, 23 April 2018 | 11:05am
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan yang mengakibatkan seorang wanita maut di Batu 14 Lekir, Sitiawan. - Foto Ihsan Bomba

Guru wanita maut dua kereta bertembung

SITIAWAN: Seorang guru wanita maut apabila kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kenderaan lain di Batu 14 Lekir di sini, tengah malam tadi.

Dalam nahas jam 12.05 tengah malam, Rohani Zakari, 53, yang memandu kereta Proton Saga FLX, maut di tempat kejadian akibat parah di kaki dan kepala.

Suami mangsa yang juga anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Amir Hamzah Idris, 54, yang berada di tempat duduk penumpang depan, cedera pada bahagian muka, kaki dan tangan.

Bagaimanapun, anak perempuan mereka di kerusi penumpang belakang, Nurul Afiqah, 18, tidak cedera.

Pemandu Perodua Myvi yang bertembung dengan kenderaan mangsa, Mohd Hafiz Abdul Habib, 31, pula patah kaki.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata siasatan mendapati kereta Proton Saga FLX terbabit dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan, manakala Perodua Myvi dari arah bertentangan.

Beliau berkata, kereta dipandu Rohani dipercayai tiba-tiba memasuki laluan Perodua Myvi sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung.

"Kemalangan itu menyebabkan wanita terbabit parah di kaki serta kepala, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu Perodua Myvi dan suami mangsa di kerusi penumpang depan Proton Saga FLX yang cedera dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) bagi mendapatkan rawatan.

"Anak perempuan pasangan terbabit tidak cedera," katanya.

Muhammad Hanif berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSM untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan yang tiba di lokasi mendapati seorang wanita tersepit, manakala dua mangsa lelaki yang cedera sudah dikeluarkan oleh orang awam.

"Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

"Semua mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan yang tiba untuk tindakan lanjut dan operasi diketuai Khairul Azizi Kamarudin tamat jam 1.13 pagi," katanya.

Berita Harian X