Isnin, 23 April 2018 | 9:24pm

Lagi motosikal bawah jambatan dirempuh

PETALING JAYA: Tiga penunggang yang sedang berteduh daripada hujan di bawah jambatan Jalan Kuala Selangor, dekat Sierramas, di sini, berdepan detik cemas apabila motosikal mereka dirempuh sebuah treler, tengah hari tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian itu jam 12.30 tengah hari, semua penunggang tidak cedera dan hanya motosikal yang rosak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at, berkata kemalangan berlaku ketika semua penunggang yang dari arah Kepong ke Sungai Buloh berhenti berteduh ketika hujan.

"Berdasarkan maklumat daripada seorang mangsa lelaki berusia 29 tahun, treler tanpa muatan itu dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh beberapa motosikal di lokasi.

"Mangsa dan dua lagi penunggang tidak cedera," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin 12 motosikal rosak teruk selepas dirempuh dua kenderaan ketika berteduh daripada hujan di bawah jambatan di Kilometer 258 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Port Dickson.

Dalam kejadian jam 2 petang, motosikal berkenaan rosak teruk selepas terperosok di bawah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kereta Perodua Axia.

Kejadian ini turut mendapat perhatian Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye yang menegaskan pihak berkuasa dan pengendali lebuh raya perlu mengkaji semula reka bentuk serta lokasi kemudahan berteduh untuk penunggang dan pembonceng motosikal bagi menjamin keselamatan mereka.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya tidak masih tidak dapat menentukan jumlah sebenar motosikal yang dilanggar dalam kejadian itu kerana hanya dua daripada mangsa yang membuat laporan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X