Rabu, 25 April 2018 | 2:50pm
PEGUAM, Tiu Foo Woei (kiri) dan Rajesh Nagarajan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili seorang ejen unit amanah yang dihukum penjara 48 tahun dan sebatan 24 kali selepas mengaku bersalah atas 623 tuduhan pelbagai kesalahan seksual terhadap anak perempuan kandungnya di Mahkamah Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Jalan Duta. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PEGUAM, Tiu Foo Woei (kiri) dan Rajesh Nagarajan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili seorang ejen unit amanah yang dihukum penjara 48 tahun dan sebatan 24 kali selepas mengaku bersalah atas 623 tuduhan pelbagai kesalahan seksual terhadap anak perempuan kandungnya di Mahkamah Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Jalan Duta. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Mohon teliti rakaman audio, video

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam kes membabitkan seorang ejen unit amanah yang dihukum penjara 48 tahun dan 24 sebatan atas 623 tuduhan pelbagai kesalahan seksual terhadap anak perempuan kandungnya, memohon meneliti rakaman audio serta video ketika prosiding pengakuan bersalah direkodkan, Ogos tahun lalu.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Tiu Foo Woei daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili lelaki berusia 37 tahun itu selaku perayu membuat permohonan berkenaan pada pendengaran rayuan kes di depan Hakim Datuk Azman Abdullah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Terdahulu, Rajesh memaklumkan pihaknya membuat permohonan itu berikutan anak guamnya mendakwa tidak semua 623 pertuduhan dihadapinya dibacakan semula ketika prosiding pada 25 Ogos tahun lalu.

"Ketiadaan peguam juga membuatkan dia tidak faham sebab dan akibat pengakuan dibuat. Sejak anak guam saya ditahan hingga dituduh dan ketika jatuh hukum, dia tidak diwakili mana-mana peguam dan perkara itu membuatkan dia tidak tahu haknya di sisi undang-undang.

"Anak guam saya menghadapi pertuduhan serius dan sewajarnya dia perlu mempunyai peguam untuk memberi khidmat nasihat kepadanya," katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 16 Mei ini untuk sambung pendengaran kes itu.

Perayu memfailkan rayuan untuk mengurangkan hukuman itu pada Oktober tahun lalu.

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrajaya menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap lelaki itu selepas dia mengaku bersalah merogol, meliwat dan penganiayaan seksual terhadap anak perempuannya.

Hakim Yong Zarida Sazali memerintahkan dia menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 26 Julai 2017.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan, menjalani kaunseling pemulihan selama 10 tahun dan mengikuti pengawasan polis selama tiga tahun selepas keluar penjara.

Kes itu mendapat perhatian awam apabila lelaki itu didakwa atas 623 kesalahan, termasuk satu kes rogol, 591 kesalahan liwat dan 30 tuduhan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya serta satu kes penganiayaan seksual.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di bilik tidur rumahnya di Sungai Way, Petaling Jaya sejak Januari tahun lalu hingga Julai tahun lalu.

Bagi semua pertuduhan meliwat, dia dituduh melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap anak perempuannya pada Januari hingga 20 Julai 2017, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Bapa kepada tiga anak perempuan itu juga didakwa atas 30 pertuduhan melakukan seksual fizikal dengan cara menyentuh anak sulungnya pada 11 Julai hingga 20 Julai 2017, mengikut Seksyen 14/16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Dia juga didakwa melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa di antara 1 Januari hingga 21 Julai tahun lalu, mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2016.

Lelaki itu turut dituduh merogol mangsa di tempat sama, pada jam 2 petang, 21 Julai tahun lalu, mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan.

Semua pertuduhan mengikut kanun dan akta berkenaan membawa hukuman penjara dan sebat. Berdasarkan fakta kes, tertuduh kali pertama meliwat anaknya itu dua tahun lalu.

Mangsa tinggal bersama bapanya sejak Januari tahun lalu selepas ibu bapanya bercerai. Dia memberitahu ibunya mengenai kejadian itu selepas mengetahui bapanya akan mengambil dua adiknya tinggal bersama mereka dan bimbang perkara sama berlaku kepada adiknya.

Laporan polis mengenai kejadian dan perbuatan lelaki itu dibuat bekas isteri tertuduh pada 25 Julai 2017.

Berita Harian X