Khamis, 26 April 2018 | 10:15pm
SENJATA yang digunakan seorang lelaki.
KECEDERAAN yang dialami mangsa.
KECEDERAAN yang dialami mangsa.
KECEDERAAN yang dialami mangsa.

Tetak wanita kerana dakwa disihir

KINABATANGAN: Seorang lelaki khayal menetak dua wanita sehingga parah di sebuah rumah kongsi di Ladang Harus Abadi di sini, kerana mendakwa seorang daripada mangsa membuat sihir kepadanya.

Mangsa, Bunga Sahade, 65, parah di belakang kepala, luka bahu, tangan kanan dan siku kiri serta patah tulang dan hujung jari kiri putus manakala Murni Yusup, 43, pula parah di belakang kepala, luka dan patah pergelangan tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata serangan berlaku pada Isnin lalu dan polis menerima laporan pada keesokannya daripada pengurus Ladang Harus Abadi.

"Hasil siasatan mendapati suspek dan mangsa pertama (Bunga) tinggal bersama dalam sebuah rumah kongsi tetapi berasingan bilik. Mereka tiada hubungan kekeluargaan.

"Ketika kejadian, suspek dikatakan menyerang mangsa pertama yang sedang mencuci kuali di luar rumah manakala mangsa kedua (Murni) sedang menutup jendela rumahnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hasil laporan itu, pada 24 April lalu, jam 2.30 petang, sepasukan polis menahan suspek terbabit di lokasi kejadian dan merampas sebilah parang yang digunakan ketika menyerang kedua-dua mangsa.

"Ujian air kencing suspek berusia 30 tahun warga Indonesia positif dadah dan soal siasat mendapati dia menyerang mangsa kerana mendakwa sedang khayal kononnya disihir oleh salah seorang mangsa," katanya sambil menambah kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Lahad Datu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Berita Harian X