Jumaat, 27 April 2018 | 7:01pm
KETUA Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin pada sidang media kes samun di IPK Seremban. - Foto Adzlan Sidek.

Tebuk peti besi, larikan emas RM2 juta

NILAI: Dipercayai sekurang-kurangnya empat penjenayah melarikan barangan kemas dan wang tunai bernilai lebih RM2 juta selepas memecahkan peti besi kedai emas di sebuah pasar raya besar dekat Bandar Baru Nilai di sini, hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata pihaknya menerima panggilan awam jam 8.05 pagi memaklumkan premis berkenaan dipecah masuk sebelum mengerahkan anggota ke lokasi.

Katanya, pemeriksaan polis mendapati peti besi yang digunakan untuk menyimpan barang kemas dan wang tunai ditebuk dipercayai menggunakan gerudi oleh suspek.

"Siasatan di tempat kejadian menjumpai alat memotong besi seperti mata gerudi, pemutar skru dan kuku kambing. Pemilik premis kerugian RM2 juta, tidak termasuk wang tunai RM8,000 yang turut dilarikan," katanya.

Noor Azam berkata, Disember lalu premis sama pernah disamun menyebabkan pemiliknya menanggung kerugian lebih RM1 juta.

Katanya, kes terbaharu itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk bangunan.

Sementara itu sumber berkata, suspek memasuki premis terbabit melalui bahagian belakang secara memanjat bangunan pasar raya besar itu.

"Suspek dipercayai merangkak melalui atas siling sebelum menebuk tiga lubang untuk memasuki kedai emas terbabit. Mereka kemudiannya memasuki premis menggunakan tangga yang dibawa," katanya.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku antara jam 1.30 pagi hingga 5 pagi dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sekitar lokasi.

Berita Harian X