Selasa, 1 Mei 2018 | 4:44pm
KETUA Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon. - Foto Muhaizan Yahya

Kanak-kanak maut, tiga ahli keluarga cedera

KAMPAR: Kanak-kanak terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan Toyota Hilux dinaiki sekeluarga terbabas merempuh pokok di Kilometer 308.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, hari ini.

Kemalangan jam 9.18 pagi itu menyebabkan M Veerasshan, 7, maut di lokasi kejadian manakala bapanya, S Muniandy, 46, serta dua lagi ahli keluarga iaitu R Parvithiran, 18, dan pemandu kenderaan berkenaan, R Yageswara, 24, cedera.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan dari Johor ke Pulau Pinang bagi menghadiri upacara pengebumian bapa Parvithiran.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh pokok.

"Akibat kemalangan itu, kanak-kanak berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kenderaan pacuan

empat roda berusia 24 tahun patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Fatimah di sini.

"Penumpang berusia 18 tahun yang dipercayai patah kaki kanan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menerima rawatan lanjut manakala Muniandy hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kong Soon berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kampar dan bedah siasat dijalankan pada jam 2 petang tadi.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati hujan renyai dan keadaan jalan basah serta berselekoh ketika kejadian.

"Toyota Hilux dinaiki semua mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri kenderaan.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X