Rabu, 2 Mei 2018 | 2:10pm

Mayat dalam kereta di tali air

TUMPAT: Mayat lelaki ditemui di dalam sebuah kereta dipercayai terperangkap selepas kenderaan itu terbabas dalam tali air di Kampung Paya Pasir di sini.

Kenderaan jenis Perodua MyVi yang dinaiki mangsa, Loo Thong Hong, 50-an ditemui seorang penduduk yang ingin mengangkat pukat di kawasan itu pada jam 8 pagi tadi.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat yang tiba di tempat kejadian pada jam 10.38 pagi, mengambil masa selama satu jam untuk menarik kenderaan dan mengeluarkan mangsa.

Seorang saksi, Mohd Faizal Syah Mohamed, 38, berkata dia diberitahu petang semalam oleh seorang rakan yang ternampak satu objek di dalam tali air seperti kepingan zink (bumbung kereta).

"Rakan saya itu kemudiannya mendekati objek itu sebelum menyentuh sesuatu iaitu cermin kereta dan dia terus meninggalkan lokasi kerana takut.

"Pagi ini, saya bersama dua rakan ke kawasan itu dan cuba menyelam di lokasi...memang sah ia sebuah kereta namun saya tidak pasti (ketika itu) ada mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.

Rakan mangsa, Tea Cheng Eng, 38, berkata kali terakhir mangsa dilihat pada malam 30 April lalu dan selepas itu dimaklumkan oleh keluarga mangsa akan kehilangannya.

"Mangsa yang kini tinggal di Kota Bharu sering datang ke kampung ini kerana pernah menetap di sini sebelum ini.

"Sebaik mendapat tahu berita penemuan sebuah kereta dalam tali air saya segera bergegas ke sini dan memang benar kenderaan itu milik mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, sudah dua malam dia cuba menghubungi mangsa kerana bimbang berlaku sesuatu yang buruk.

"Kami menghubungi dua telefon bimbitnya banyak kali sejak dua malam lalu namun gagal dan apabila diberitahu mengenai penemuan kereta mangsa di sini, saya terus bergegas datang," katanya.

Mayat kemudian di bawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

KERETA jenis Perodua MyVi ditarik naik ke darat. - Foto Siti Rohana Idris
KERETA jenis Perodua MyVi ditarik naik ke darat. - Foto Siti Rohana Idris
ANGGOTA polis merakam gambar kenderaan yang terbabas dalam tali air. - Foto Siti Rohana Idris
ANGGOTA polis merakam gambar kenderaan yang terbabas dalam tali air. - Foto Siti Rohana Idris
MAYAT Loo Thong Hong dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat. - Foto Siti Rohana Idris
MAYAT Loo Thong Hong dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat. - Foto Siti Rohana Idris
Berita Harian X