Jumaat, 11 Mei 2018 | 2:44pm
DATUK Seri Azam Baki. - Foto NSTP

SPRM siasat dakwaan rasuah sepanjang PRU-14

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan menyiasat laporan berhubung rasuah yang diterima sepanjang musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kegiatan itu di seluruh negara, termasuk laporan yang mendakwa ada pihak menerima rasuah semasa kempen PRU-14.

"Ada yang betul dan ada yang salah, ada laporan itu yang datang bersama gambar dan video.

"SPRM memberi jaminan akan menyiasat semua dakwaan ini dan melihat kepada gambar serta video. Kita perlu mengenal pasti lokasi, suspek dan penerima bagi kegiatan rasuah yang didakwa berlaku itu.

"Ini disebabkan banyak visual yang menunjukkan orang menerima sampul surat. Jadi, kita perlu mendapatkan keterangan dan menyiasat penerima berkenaan," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Azam berkata, SPRM akan membuka fail berasingan bagi setiap laporan yang diterima.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini berkata, SPRM dilihat tidak mempedulikan kegiatan rasuah yang berlaku secara berleluasa sepanjang pilihan raya.

Dalam sidang medianya, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji sama ada SPRM bertindak secara adil atau sebaliknya dan jika badan itu didapati berat sebelah kepada mana-mana pihak, mereka akan ditukarkan.

"Sepanjang PRU-14, SPRM kelihatan tidak mempedulikan bahawa rasuah berlaku di mana-mana. Terdapat gambar yang menunjukkan wang diagihkan," katanya.

Berita Harian X