Isnin, 14 Mei 2018 | 12:18pm
PENGANALISIS politik, Abdul Razak Baginda. Foto Saddam Yusoff

Polis nafi Abdul Razak ditahan di KLIA

SEPANG: Polis menafikan dakwaan tular dalam laman sosial kononnya penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu berlepas ke luar negara.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata beliau ada menerima panggilan orang awam semalam bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan itu yang tular dalam Facebook.

"Tiada tangkapan dibuat oleh polis terhadap beliau di KLIA.

"Malah, semakan nama (penumpang) juga tiada nama beliau," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Pada 16 November 2006, Abdul Razak didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun pada 31 Oktober 2008, Mahkamah Tinggi membebaskan Abdul Razak tanpa memerintahkannya membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada hari sama, Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap Azilah dan Sirul Azhar serta memerintahkan mereka membela diri.

Berita Harian X