Jumaat, 18 Mei 2018 | 11:42am

Lelaki amuk direman seminggu

BAGAN DATUK: Seorang lelaki berusia 35 tahun yang mengamuk hingga menyebabkan kematian tiga beradik dan empat yang lain cedera di Kampung Sungai Haji Muhammad semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Reman sehingga 24 Mei itu bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dikeluarkan Majistret Syahdatul Kamilia Zakaria di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Nurziah Fasihah Mohd Fadzil, 2, bersama dua abangnya, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mumammad Faqhqih Zahirul Haq, 5, maut di tempat kejadian akibat ditetak lelaki yang mengamuk itu.

Tragedi itu turut menyebabkan ibu mangsa, Zuraidah Md Ali, 35, parah sementara kakak sulung, Nur Zurin Faziera, 9, bersama dua lagi penduduk kampung termasuk seorang murid tahun tiga, turut cedera diserang lelaki sama.

Suspek yang bekerja sebagai penyelenggara di agensi kerajaan di sini itu dikatakan mengalami halusinasi dan bertindak di luar kawalan.

Suspek melibas tiga beradik berkenaan hingga menyebabkan kematian sementara ibu mangsa cedera di pergelangan tangan kiri, putus ibu jari selain menerima jahitan di muka.

Tindakan suspek tidak berhenti di situ, dia kemudiannya mengamuk di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Muhamad yang terletak kurang 50 meter dari kediaman keluarga terbabit.

Kejadian amuk di kawasan sekolah menyebabkan dua murid termasuk Nur Zurin Faziera serta ustaz berusia 40 tahun, cedera.

SEORANG lelaki (tengah) direman selepas mengamuk hingga menyebabkan kematian tiga beradik dan empat yang lain cedera di Kampung Sungai Haji Muhammad semalam. - Foto L Manimaran
SEORANG lelaki (tengah) direman selepas mengamuk hingga menyebabkan kematian tiga beradik dan empat yang lain cedera di Kampung Sungai Haji Muhammad semalam. - Foto L Manimaran
Berita Harian X