Sabtu, 19 Mei 2018 | 6:57pm
DATUK Harpal Singh Grewal keluar dari kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta. - Foto Aswadi Alias
DATUK Harpal Singh Grewal keluar dari kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta. - Foto Aswadi Alias

Cuma sijil nikah, duit lama

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua hari berusaha untuk membuka sebuah peti besi lama yang terdapat di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini, polis hanya menemui sijil nikah Datuk Seri Najib Razak dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Selain itu, peti besi berkenaan yang sudah lebih 20 tahun tidak dibuka kerana kuncinya hilang turut mengandungi sejumlah wang lama, termasuk mata wang asing.

Peguam mewakili Najib, Datuk Harpal Singh Grewal, memaklumkan tiada barangan berharga lain terdapat dalam peti besi berkenaan selain wang lama serta sijil nikah berkenaan.

"Saya diberitahu hanya terdapat sejumlah ringgit lama dan mata wang asing lama dalam peti besi berkenaan selain sijil nikah.

"Tiada barangan berharga lain selain daripada wang-wang lama berkenaan, bagaimanapun saya tidak pasti berapa jumlahnya tetapi tidak banyak," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Terdahulu, polis terpaksa menggerudi dan meminta bantuan beberapa tukang kunci untuk membuka peti besi yang terletak di tingkat satu rumah kediaman keluarga bekas Perdana Menteri itu sejak jam 8.30 pagi, Khamis lalu.

Selepas hampir dua hari, peti besi berkenaan akhirnya berjaya dibuka kira-kira jam 4 petang semalam.

Penggeledahan di kediaman peribadi bekas perdana menteri itu, serta lima lagi lokasi lain, adalah sebahagian daripada siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (IMDB) oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang dimulakan pada Rabu lalu.

Sementara itu, NSTP turut melaporkan polis kini dalam usaha membuka lapan buah peti besi lagi yang terdapat di kediaman rasmi bekas Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

Sumber memberitahu, dua tukang kunci ditugaskan untuk membuka peti-peti besi berkenaan sejak jam 12 tengah hari, semalam.

Bagaimanapun, perkembangan proses itu belum dapat dipastikan.

Setakat ini belum ada pengesahan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berhubung kedua-dua perkara itu.

Beliau sebelum ini memaklumkan, satu sidang media akan diadakan selepas semua proses penggeledahan itu selesai.

Berita Harian X