Isnin, 21 Mei 2018 | 12:49pm

Cari PATI, jumpa senapang buatan sendiri

KOTA BELUD: Polis merampas dua laras senapang buatan sendiri, termasuk jenis bakakuk dalam operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah rumah kongsi Safoda, Kampung Ulu Kukut, dekat sini, kelmarin.

Serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud itu menahan 13 individu, termasuk pemilik senapang berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata ketika serbuan di rumah kongsi berkenaan, polis turut menemui selaras senapang jenis bakakuk dan selaras senapang buatan sendiri menggunakan peluru guli.

"Turut dirampas ialah dua butir peluru jenis BB dan 25 butir guli dipercayai dijadikan peluru," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jauteh berkata, semua senapang buatan sendiri bersama peluru ditemui bersebelahan dengan seorang lelaki yang sedang tidur di dalam bilik di rumah kongsi berkenaan.

"Suspek mengaku senapang yang dirampas adalah miliknya yang didakwanya ditemui di dalam hutan. Semua tangkapan dan rampasan senapang berserta peluru dibawa ke IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Berita Harian X