Selasa, 22 Mei 2018 | 3:01pm

Dua konstabel polis didakwa minta, terima suapan

KUALA LUMPUR: Dua konstabel polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan meminta dan memperoleh suapan daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya pada tahun lalu.

Ahmad Nazreen Hajman, 29, dan Muhammad Amin Azemi, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang bertugas di Balai Polis Kepong didakwa dengan niat bersama telah secara rasuah meminta suapan wang RM1,000 daripada Mohamat Hasanudin Cholis sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang memandu tanpa lesen sah.

Wang itu juga sebagai dorongan untuk melepaskan Mohamat Hasanudin dan Zulfaizan Zainuddin yang disyaki terbabit dengan kes dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Metro 2, Kepong, antara jam 12 hingga 1.30 tengah hari 22 April tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama telah secara rasuah memperoleh wang RM100 daripada Mohamat Hasanudin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang bagi kesalahan sama di kawasan perumahan belakang Jalan Taman Emas, Kepong, antara jam 12 hingga 1.30 tengah hari 22 April tahun lalu.

Sementara itu, Ahmad Nazreen berdepan satu lagi pertuduhan secara rasuah memperoleh suapan wang RM500 daripada Mohamat Hasanudin sebagai upah kerana tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya dan Zulfaizan di hadapan Maybank Kepong Prima, Jalan Prima 5, Kepong, pada jam 9.50 malam 22 April tahun lalu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman, manakala peguam Nor Azri Mohd Arif mewakili Muhammad Amin. Ahmad Nazreen bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abdul Rashid menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap Ahmad Nazreen, dan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin ke atas Muhammad Amin.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan mereka menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Julai depan.

Berita Harian X