Jumaat, 25 Mei 2018 | 5:56pm
KEADAAN kereta mangsa selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) di Bukit Mertajam, hari ini. - Foto ihsan pembaca

Jururawat maut kemalangan babitkan empat kenderaan

BUKIT MERTAJAM: Jururawat maut selepas kereta dipandunya dihempap kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa Nur Hidayah Mahmud, 32, yang beralamat di Pengkalan Hulu, Perak maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai mabuk merempuh kereta Toyota Altis di Kilometer 8.1 lebuh raya itu arah Kulim.

Katanya, kesan rempuhan itu menyebabkan kereta dipandu lelaki berkenaan terbalik sebelum menghempap kereta Perodua Viva dipandu jururawat terbabit di laluan menghala Seberang Jaya.

"Kereta dipandu jururawat berkenaan terbabas kira-kira 77 meter ke bahu kiri jalan dan sebuah pacuan empat roda juga merempuh kereta dipandu lelaki yang dipercayai mabuk itu.

"Bomba yang dimaklumkan mengenai kejadian pada 7.36 pagi tiba sebelum mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, pemandu kereta Vios dan pemandu kereta Altis cedera dan mendapatkan rawatan di hospital manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

Katanya, pihaknya sudah mengambil sampel darah pemandu Vios untuk ujian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X