Ahad, 27 Mei 2018 | 8:36pm

Barang kemas RM130,000 lesap dalam 3 minit

JOHOR BAHRU: Hanya dalam masa kira-kira tiga minit, sekumpulan empat lelaki bersenjatakan pistol dan tukul besi berjaya merompak dan melarikan pelbagai barang kemas dalam kejadian di sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah di Bandar Dato' Onn dekat sini.

Dalam kejadian jam 7.23 malam semalam ketika waktu berbuka puasa, perompak terbabit melarikan pelbagai jenis barang kemas bernilai kira-kira RM130,000.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, ketika kejadian, keempat-empat lelaki yang memakai topeng muka menyerbu masuk premia berkenaan sebelum melakukan rompakan dengan memecahkan kaca rak pameran.

"Kejadian dipercayai berlaku pada jam 7.23 malam hingga 7.26 malam. Suspek pertama menggunakan senjata iaitu satu objek menyerupai pistol, manakala suspek kedua hanya memegang beg yang digunakan untuk menyimpan barang kemas hasil rompakan.

"Suspek ketiga dan keempat pula menggunakan tukul besi untuk memecahkan kaca rak pameran barang kemas itu," katanya.

Beliau berkata, tiada tembakan dilepaskan di lokasi kejadian dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"Terdapat seorang pengawal keselamatan bersenjata api yang bertugas di kedai itu, namun ketika kejadian dia berada dalam bilik rehat. Terdapat juga empat jurujual yang sedang bekerja ketika kejadian.

"Apabila pengawal keselamatan keluar dari bilik rehat, semua suspek sudah melarikan diri. Mereka dipercayai melarikan diri sebaik menyedari pengawal keselamatan mempunyai senjata api 'pum gun'.

Menurut Shahurinain, polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan keempat-empat suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

Berita Harian X