Rabu, 30 Mei 2018 | 9:43am

Penoreh cedera kena tembakan pemburu haram

KOTA MARUDU: Seorang penoreh getah nyaris maut terkena tembakan dipercayai dilepaskan pemburu haram dalam kejadian di sebuah kebun getah di Kampung Maringgan, Pitas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Justin Doimin @ Doiman, 43, cedera di bahagian kiri muka, leher, dada dan bahu akibat terkena peluru sebelum dilaporkan pengsan selama kira-kira tiga jam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata kejadian itu diketahui selepas polis menerima panggilan bahawa pihak Hospital Pitas merawat seorang lelaki terkena peluru dipercayai daripada jenis senapang patah.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa yang sedang menoreh di kebun getah majikannya terdengar satu bunyi letupan dan tiba-tiba rasa sakit sebelum pengsan selama tiga jam.

"Kejadian itu hanya disedari saksi selepas kira-kira lima jam kemudian apabila saksi bersama keluarganya sedang mandi di sebuah sungai berhampiran lokasi kejadian dan terdengar jeritan mangsa meminta pertolongan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Izaan berkata, saksi mencari arah suara mangsa yang meminta pertolongan sebelum ternampak mangsa sedang terbaring.

"Saksi kemudian pergi ke Kampung Suang Duyung untuk mendapatkan bantuan bagi menghantar mangsa ke hospital.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kiri badan termasuk muka, leher, dada dan bahu kini dalam keadaan stabil namun akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut.

Mohd Izaan berkata, kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960.

"Mangsa menyatakan lokasi itu memang kawasan orang memburu dan sebelum ini turut pernah terdengar bunyi letupan dipercayai tembakan.

"Sehubungan itu, mangsa disyaki tertembak oleh pemburu haram di lokasi kejadian dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek dalam kejadian ini," katanya.

Berita Harian X