Rabu, 30 Mei 2018 | 1:23pm
GAMBAR fail, Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Abdul Samad. - Foto Rosdan Wahid

Mahkamah tolak bantahan awal batal saman Khalid Samad

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak bantahan awal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Profesor Datuk Mahamad Naser Disa untuk membatalkan saman Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berhubung isu-isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rohani Ismail membuat keputusan itu di dalam kamarnya, selepas bertemu peguam kedua-dua pihak.

Peguam Mohd Faizal Abdullah yang mewakili Khalid ketika ditemui berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat isu untuk dibicarakan dalam kes itu.

Sementara itu peguam Ahmad Kamal Abu Bakar yang mewakili Mahamad Naser mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa mahkamah sudah menetapkan dua hari bermula 13 November ini untuk perbicaraan.

Pada Disember tahun lalu, Khalid sebagai plaintif memfailkan saman mendakwa Mahamad Naser ada mengeluarkan pernyataan fitnah berhubung isu RUU 355.

Beliau didakwa berkata demikian di dalam seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pada jam 9.50 pagi, 28 September 2017 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Khalid mendakwa Mahamad Naser sebagai defendan memberi gambaran bahawa beliau menentang RUU 355 itu.

Beliau berkata dakwaan defendan itu berniat jahat dan menyebabkan reputasinya tercemar.

Oleh itu beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan untuk ditaksirkan selain permohonan maaf serta perintah injunksi.

Pada 30 Januari lalu, Mahamad Naser mengemukakan permohonan untuk membatalkan pernyataan tuntutan terpinda plaintif atas alasan ia penyalahgunaan proses mahkamah.

Selain itu, Mahamad Naser mendakwa tuntutan saman itu juga tidak munasabah kerana beliau tidak pernah menamakan Khalid di dalam kenyataannya.

Berita Harian X