Ahad, 3 Jun 2018 | 8:51pm

8 motosikal, 4 kereta musnah terbakar

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan motosikal dan empat kereta terbakar secara tiba-tiba dalam satu kejadian di blok 51, Pangsapuri Pantai Indah, Fasa 2, Pantai Dalam di sini.

Bagaimanapun, kejadian sekitar jam 4 petang tadi itu tidak membabitkan sebarang mangsa kerana semua kenderaan berkenaan berada di tempat letak kenderaan blok terbabit.

Seorang saksi, Azali Mohamed, 59, berkata beliau sempat mendengar bunyi letupan mercun sebelum menyedari deretan motosikal dan kereta di kawasan letak kenderaan sedang marak terbakar.

"Saya sedang bersiap untuk keluar bekerja sebagai pemandu teksi dan terkejut apabila melihat deretan motosikal milik penduduk di pangsapuri ini sedang terbakar.

"Beberapa penghuni dilihat dalam keadaan panik dan cuba memadamkan kebakaran, bagaimanapun api menjulang tinggi dengan pantas merebak ke motosikal bersebelahan," katanya,

Tambah beliau, kebakaran turut memusnahkan bahagian belakang empat kereta yang diletakkan di kawasan berhampiran.

Sepasukan anggota bersama jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dan Seputeh, yang tiba di lokasi tidak lama kemudian berjaya memadamkan api.

Sumber bomba mengesahkan, kebakaran itu merosakkan empat kereta model Proton Saga, Proton Persona, Nissan X-trail dan Perodua Myvi.

"Saya tidak pasti sama ada kebakaran ini berpunca akibat mercun atau perbuatan khianat, hanya anggota Forensik Bomba boleh menentukan punca kebakaran," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, yang melawat lokasi kejadian turut meluahkan rasa simpati dan berjanji untuk membantu mangsa.

Beliau meminta pihak polis menyiasat punca kejadian itu sama ada ia berpunca akibat mercun atau sebaliknya.

"Saya akan pastikan tiada kegiatan menjual mercun dilakukan di kawasan ini," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X