X
Selasa, 5 Jun 2018 | 9:43pm
ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pikap, petang tadi. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pikap, petang tadi. - Foto ihsan Bomba

2 maut, 6 cedera kemalangan dua kenderaan

BAGAN SERAI: Dua maut manakala enam parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pikap di Kilometer 92, Jalan Ipoh-Butterworth, dekat Taman Selinsing Indah, di sini, petang tadi.

Pemandu PERODUA Bezza yang juga orang kurang upaya (OKU), Jubidi Johari, 62, dan pasangannya yang duduk di kerusi penumpang hadapan, Che 'Noriah Nawari, 58, dari Tebuk Haji Dollah, Selinsing, di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara dua lagi penumpang kenderaan itu, dipercayai cucu kepada mangsa mengalami kecederaan serius.

Empat lagi mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, turut parah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Abdul Jalil Nasir, berkata tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Zainuddin Mohd Nordin dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.01 petang.

Katanya, setiba di lokasi, pihaknya segera menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap.

"Nahas membabitkan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dengan PERODUA Bezza," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala enam mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan.

Katanya, operasi pasukan itu tamat sepenuhnya pada jam 5.12 petang.

Berita Harian X